KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir menyerikan Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak dan Sunat Terawih Berjemaah bersama penjawat awam Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.
Mengiringi beliau ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Usai berbuka puasa, Premier Sarawak bersama dengan para jemputan yang beragama Islam menunaikan Solat Maghrib sebelum meneruskan jamuan makan malam.
Dalam pada itu, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak juga meneruskan komitmen kebajikannya dengan menganjurkan program Sumbangan Ikhlas MAKSAK Cares.
Pada majlis sama, seramai 100 penjawat awam yang terpilih menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai RM100 yang disalurkan melalui akaun S Pay Global serta baucar tunai Emart bernilai RM100 setiap seorang.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian iaitu Datin Sri Enn Ong Siok Ean dan disaksikan oleh Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang bersama ahli-ahli MAKSAK Wanita Sarawak yang lain.
Sumbangan baucar ini merupakan hasil kolaborasi Exco MAKSAK Wanita Sarawak dengan Emart Holdings Sdn Bhd menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM10,000.
Inisiatif ini memberi penghargaan kepada penjawat awam Sarawak yang bertugas di jabatan kerajaan sekitar Bahagian Kuching.
Program ini diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima serta memberi keberkatan kepada semua pihak yang terlibat dalam bulan mulia ini.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian serta isteri Datin Sri Enn Ong Siok Ean, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin serta isteri Datin Sri Christina Kong, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ketua-Ketua Jabatan.-EDISI UKAS