200 Penerima Bantuan Kebajikan Samarahan Terima Sumbangan Hari Raya

Disiarkan pada 06 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


ASAJAYA: Seramai 200 penerima bantuan kebajikan bulanan dari bahagian Kota Samarahan menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri sempena Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 yang berlangsung di Masjid An-Najah, di sini pada Khamis.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program ini juga membantu meningkatkan kualiti hidup golongan kurang berkemampuan.

"Setiap penerima menerima wang tunai RM100 serta hamper bernilai RM80 di mana secara keseluruhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.61 juta bagi membantu 16,118 penerima di seluruh negeri termasuk 2,436 penerima di Bahagian Samarahan," katanya.

Dalam majlis itu, tiga penerima bantuan perubatan turut menerima sumbangan khas iaitu Suria Saji dari Kampung Sambir, menerima bantuan rawatan dialisis bernilai RM29,600 setahun.

Sementara itu, Aulia Syalmia Abdullah dari Kampung Belimbing Besi, Sebuyau menerima alat sokongan S.W.A.S.H bernilai RM3,769 manakala Shasya Nurizzati Akma Alwi Abdullah dari Kampung Bilis, Sadong Jaya menerima 36 tin susu Peptigro bernilai RM2,605 serta alat sokongan ‘Bilateral Solid Ankle Foot Orthosis and Child CP Standing Frame’ bernilai RM3,250.

Dato Sri Fatimah dalam pada itu menegaskan bahawa bantuan kewangan bulanan amat penting untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pendidikan anak-anak, tambang rawatan serta perbelanjaan khas seperti susu dan lampin pakai buang.

Majlis ini turut dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Timbalan Pengarah JKM Sarawak Norhayati Abdul Rahman, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad. -EDISI UKAS