KUCHING: FGV Holdings Berhad komited untuk memperluaskan operasinya dalam sektor perladangan sawit, logistik dan infrastruktur berkaitan di Sarawak dengan fokus kepada pelaburan strategik dan kerjasama dengan kerajaan negeri.
Perkara ini menjadi tumpuan dalam kunjungan hormat Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa terhadap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Wisma Sumber Alam di sini kelmarin.
Menurut Tan Sri Rastam, FGV kini mengendalikan ladang dan kilang sawit di Lundu dan Miri, selain berminat untuk meluaskan kehadirannya dalam industri penyimpanan minyak kelapa sawit di Pelabuhan Tanjung Manis dan Sibu melalui kerjasama dengan rakan niaga tempatan.
Beliau turut menegaskan komitmen FGV dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak, bukan sahaja dalam sektor perladangan tetapi juga pembangunan infrastruktur berkaitan.
Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah menyambut baik usaha FGV untuk memperkukuh kehadiran di Sarawak dan menzahirkan sokongan kerajaan negeri terhadap langkah-langkah strategik syarikat tersebut.
Perbincangan dalam kunjungan itu turut menyentuh peluang kerjasama masa depan antara FGV dan kerajaan negeri bagi memperkukuh sektor perladangan serta menyokong pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Najais dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah.-EDISI UKAS