MUKAH: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) menggesa agar penanaman nanas varieti Sarawak Gold 1 (SG1) dipertimbangkan segera untuk memperkukuhkan industri pertanian di wilayah ini.
Saranan ini disampaikan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, semasa lawatan kerja sehari beliau ke tapak ladang nanas yang diusahakan oleh LCDA Agri Business Sdn Bhd (LABSB) di Mukah pada Rabu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), lawatan tersebut dimulakan dengan sesi taklimat oleh Ketua Pegawai Operasi LABSB, George Lentton Indang, yang membentangkan perkembangan terkini ladang nanas LCDA seluas 52 hektar, yang kini menanam nanas varieti MD2 dan Golden Diamond.
Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Lembaga Pengarah LABSB turut berkongsi tentang usaha M-FICORD dalam menjamin kelestarian industri makanan dan merancang pengembangan industri nanas di Sarawak.
“Lawatan ini menyokong perancangan pengembangan pertanian Sarawak menjelang tahun 2030 dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada ekonomi tempatan serta meningkatkan daya saing produk pertanian Sarawak di peringkat global,” katanya.
Penanaman nanas varieti SG1 dianggap sebagai langkah penting dalam memperkasa sektor pertanian dan meningkatkan hasil pertanian Sarawak ke pasaran global.
Langkah ini juga diharapkan dapat memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. -EDISI UKAS