KUCHING: Majlis Bersungkei Bersama Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang diadakan di Dewan Surau, Astana Negeri Sarawak pada malam kedua Ramadan, menyerlahkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian antara pemimpin pelbagai agama dan kaum di Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, turut berkenan menghadiri majlis tersebut yang turut disertai oleh pemimpin kerajaan, pegawai kanan perkhidmatan awam serta pemimpin agama-agama lain.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan termasuklah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Dr Sabariah Putit, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Hamdan Jar’ee, Pengarah Tabung Haji Sarawak Amat Kassim Pait dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan.
Lebih istimewa lagi, majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin dari pelbagai agama yang menjadi simbol toleransi dan keharmonian di Sarawak termasuklah Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau, The Right Reverend Datuk Danald Jute, Archbishop Dato Dr. Simon Poh, Datuk Tay Chin Kin, Datin Dona Drury Wee, Dato Dr Kalwinder Singh Khaira serta Dato Shankar Ram Asnani.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, diikuti berbuka puasa bersama para tetamu UNIFOR, sebelum diteruskan dengan sesi ramah mesra dan bergambar, memberi peluang untuk memupuk semangat perpaduan serta memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Pada akhir majlis, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama para jemaah menunaikan solat Isyak dan tarawih di Surau Astana Negeri Sarawak.
Majlis ini bukan sahaja mencerminkan keharmonian dalam masyarakat Sarawak, tetapi juga menggambarkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara nilai-nilai murni yang menjadikan Sarawak sebagai contoh perpaduan di Malaysia. -EDISI UKAS