KUCHING: Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) BAS.MY Kuching memulakan operasi mereka hari ini dengan enam buah bas akan bergerak di sepanjang laluan Q10 iaitu dari Open Air Market ke Serian.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bas mesra Orang Kurang Upaya (OKU) ini akan bergerak sejauh 67 kilometer (km), melibatkan 48 hentian bas dan menawarkan tambang murah yang mesra pengguna.
Menurut beliau, jumlah perkhidmatan bas ini akan ditingkatkan secara berfasa dengan 56 bas secara keseluruhannya akan beroperasi menjelang akhir April ini nanti.
“Hari ini, BAS.MY Kuching akan memulakan operasi dengan enam bas, sepatutnya 10 namun empat lagi masih belum beroperasi.
“Namun, pada Mac ini kita akan menyaksikan 20 lagi bas akan memulakan operasinya, manakala tambahan 26 lagi bas akan beroperasi pada akhir April.
“Pada masa ini nanti, kita akan mempunyai 56 bas moden yang dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesra OKU dan kadar tambang yang rendah di samping dilengkapi dengan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Open Air Market, di sini pada Rabu.
Dalam kesempatan itu, Dato Sri Lee tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki bas berkenaan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), sebelum bas berkenaan meneruskan perjalanan ke Serian pada hari pertama operasinya.
Lebih menarik, beliau memberitahu bahawa bas tersebut menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar, OKU dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, di mana mereka boleh memohon Kad Konsesi BAS.MY dengan pihak pengendali.
“Jadi, saya berharap dengan adanya bas-bas baharu ini, pengendali akan benar-benar mengendalikan bas mengikut jadual dan mematuhi ketepatan waktunya kerana salah satu perkara yang paling penting yang saya fikirkan dalam menyampaikan perkhidmatan seumpama ini adalah ketepatan waktu dan kebolehpercayaan.
“Saya juga berharap syarikat bas ini termasuk pengendali akan memastikan bas mereka beroperasi mengikut jadual dan sudah tentu, agensi penguatkuasa akan memeriksa, memastikan bahawa bas beroperasi mengikut jadual dan mengikut terma dan syarat SBST,” ujar beliau. -EDISI UKAS