KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan pendidikan awal kanak-kanak dengan menambah baik Geran Tahunan Khas (GTK) serta memperkenalkan bantuan pendaftaran bagi kanak-kanak di TASKA dan TADIKA berdaftar di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata sebanyak 247 TASKA dan 2,718 TADIKA berdaftar di Sarawak akan menerima GTK yang diperbaharui tahun ini yang dilaksanakan menerusi dua komponen utama.
“Komponen pertama memperuntukkan RM2,500 bagi pelaksanaan program seperti pembangunan profesionalisme pendidik dan pengasuh, program Bersih Awal Bersih Akhir (BABA), pendigitalan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak, serta pembelajaran bahasa isyarat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan simbolik Geran Tahunan Khas dan Bantuan Pendaftaran kepada lima penerima daripada Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) yang berdaftar di sini pada Selasa.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa komponen kedua merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan tahun ini, di mana setiap kanak-kanak Sarawak yang mendaftar di TASKA dan TADIKA berdaftar akan menerima bantuan pendaftaran sebanyak RM100 untuk keperluan awal mereka.
“Bantuan ini akan disalurkan melalui IPAKK masing-masing bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan asas anak-anak mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Fatimah turut memaklumkan bahawa terdapat 16 Taman Taska Kanak-Kanak (TTK) di negeri ini, termasuk 10 di bawah SeDidik, dengan jumlah kanak-kanak seramai 469 orang.
Selain itu, Sarawak juga mempunyai 22 TASKA di rumah yang berdaftar, dengan jumlah kanak-kanak seramai 152 orang.
Konvensyen Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak (SPIC) 2025 dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 September dengan tema Building the Nation through Quality Early Childhood Education.
Hadir sama,Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus.-EDISI UKAS