KPWK Giat Tangani Isu Gelandangan, Empat TTG Beroperasi Tahun Ini

Posted on 03 Mar 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) kini giat menangani isu gelandangan di Sarawak, dengan membangunkan Tempat Transit Gelandangan (TTG) di empat bahagian utama iaitu Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pada masa ini, KWPK telah berjaya mengoperasikan TTG di Bahagian Sibu, disusuli TTG Kuching yang dijadual beroperasi dalam masa terdekat.

Manakala, TTG Bintulu dan Miri menurut beliau, masih dalam proses pengubahsuaian dan pembinaan yang dijangka siap pada tahun ini.

"Kerajaan Sarawak memberi tumpuan khusus kepada golongan ini (gelandangan), dengan menyediakan tempat perlindungan sementara yang selamat dan mudah diakses, serta memperkenalkan program pemulihan bagi membantu mereka kembali ke kehidupan yang lebih stabil.

"Di TTG, mereka akan diberikan kemudahan asas seperti tempat untuk mandi, bertukar pakaian, makan, serta pemeriksaan kesihatan.

"Sekiranya perlu, mereka juga akan dirujuk kepada pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk isu berkaitan dadah atau kepada Hospital Sentosa bagi masalah kesihatan mental,"jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penasihat TTG Kuching Bil.1/2025, di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini pada Isnin.

Tambah Dato Sri Fatimah, di TTG juga, potensi golongan gelandangan ini akan dinilai melalui latihan kemahiran yang sesuai, bergantung kepada kelebihan masing-masing agar mereka dapat menjadi lebih produktif dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.

"Kita berhasrat untuk mengurangkan bilangan gelandangan, dengan memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang mampu bekerja.

"Mereka yang tiada dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan juga akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), termasuk penerima yang layak Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).

"Keberhasilan TTG ini diukur berdasarkan sejauh mana kita dapat mengurangkan golongan gelandangan yang tidur di jalanan dan membantu mereka berdikari,"jelasnya lanjut.

Terdahulu, Dato Sri Fatimah menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi yang mewakili kerajaan Sarawak dengan Ahli Lembaga Pemegang Hidayah Centre Foundation (HCF), Datin Dr. Amalina Abdullah.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohamad Razi Sitam, Setiausaha Tetap KPWK Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Semawi Mohamad, Ketua Jabatan Operasi HCF Noli Husain, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Riziandy Nawawi, Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohamad Faisal Adenan dan Ketua Operasi Wilayah HCF Sarawak Fatthurahman Othman. -EDISI UKAS