Yang di-Pertua Negeri Sarawak Serta Isteri Dijemput Hadir Majlis Iftar Tahunan Yayasan Sarawak

Disiarkan pada 03 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Sarawak di Astana Negeri Sarawak di sini pada Isnin.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Dato' Sri Syed Hamzah Syed Paie, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mersal Abang Rosli, Timbalan Pengarah (Operasi) Yayasan Sarawak Mohamad Adzlie Ibrahim, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leornard Doo serta pegawai kanan Yayasan Sarawak.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk menjemput Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke Majlis Berbuka Puasa anjuran Yayasan Sarawak.

Majlis iftar tahunan Yayasan Sarawak akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 Mac depan.

Program tersebut menjadi acara penting bagi menghimpunkan warga kerja dan pelajar Sarawak yang berada di Semenanjung sekaligus
mengeratkan hubungan dalam kalangan warga Sarawak di Semenanjung.

Turut diadakan pada majlis tersebut kelak adalah simbolik pelancaran Bantuan Kewangan Khas (BKK) yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak, di mana bantuan wang saku sebanyak RM1,200 akan disampaikan kepada pelajar Sarawak yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT). -EDISI UKAS