Projek Velo Solution Pump Track & Skate Park Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 03 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Projek Velo Solution Pump Track dan Skate Park di Taman Bulatan Miri telah siap sepenuhnya dengan perasmian akan diadakan Mac ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, menzahirkan kegembiraan dengan kedua-dua projek tersebut.

Beliau menyatakan kepuasan melihat kemudahan ini siap dengan baik dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

“Saya turun ke tapak dua hari lalu dan sangat gembira melihat projek ini telah siap sepenuhnya. Ia sangat popular dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui media pada Ahad.

Datuk Sebastian Ting menambah, projek ini dijadualkan untuk diserahkan secara rasmi pertengahan Mac ini dengan mengadakan majlis perasmian termasuk pameran khas belia-belia yang menggunakan tempat tersebut untuk mempamerkan bakat mereka.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu menambah, kemudahan lain seperti gelanggang bola keranjang dan laluan joging turut menarik ramai pengunjung.

“Ketika saya ke sana, mereka mengadakan demonstrasi khas dan ia sangat mengagumkan. Saya harap lebih ramai anak muda akan datang dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” katanya.

Dengan siapnya projek ini, Taman Bulatan Miri kini menjadi salah satu pusat rekreasi utama bagi masyarakat setempat, terutama dalam menggalakkan aktiviti sukan ekstrem dan gaya hidup sihat, ujar beliau. -EDISI UKAS