BINTANGOR: Program ‘Mobile Service 2U’ mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang awam dan warga emas kerana masih ada yang belum ketahui bantuan permohonan daripada Kerajaan Sarawak Dan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, perkhidmatan tersebut akan diteruskan dari masa ke masa agar terus memberi perkhidmatan yang terbaik dan menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat setempat.
“Inilah peluang terbaik untuk mendengar dan mendekati lebih dekat dengan rakyat di kawasan,” katanya demikian ketika ditemui semasa Program ‘Mobile Service 2U’ di Bandar Bintangor pada Ahad.
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor telah mengadakan ‘Mobile Service 2U’ dalam memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan mendekati rakyat di kawasan Bandar Bintangor.
Perkhidmatan SUPP Cawangan Bintangor ‘Mobile Service 2U’ pada minggu ini diadakan adalah untuk membantu Orang awam membuat permohonan skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB), ‘Kenyalang Gold Card’ dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.
Program tersebut turut membantu orang awam membuat semakan status permohonan SKAS melalui aplikasi S Pay Global dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Program tersebut diketuai oleh Datuk Ding merangkap Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor. -EDISI UKAS