MIRI: Pasukan DUN Senadin Service Centre Mobile Service2U, yang diketuai Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin turun padang untuk mengadakan sesi bertemu rakyat di medan selera UNIQUE serta kedai-kedai kopi berdekatan sempena program mingguan mereka pada Ahad.
Pasukan ini terdiri daripada ahli Jawatankuasa Utama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin termasuk Sayap Wanita dan Belia serta ahli majlis iaitu Cr. Jeffery Phang Siaw Foong, Cr. Kueh Chie Tiong, Cr. Ernest Goh Khiok Seng dan Cr. Yap Siew Jin.
Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin mengetuai pasukan ini untuk berinteraksi dengan masyarakat yang ditemui di medan selera tersebut.
Beberapa orang awam turut mengambil peluang untuk bertemu secara peribadi dengan Dato Sri Lee dan pasukannya bagi mendapatkan nasihat mengenai permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) serta dasar bantuan kebajikan lain.
Selain itu, terdapat juga maklum balas mengenai masalah banjir kilat yang memerlukan perhatian segera daripada Majlis Bandaraya Miri dan agensi kerajaan berkaitan.
Dalam masa yang sama, pasukan perkhidmatan bergerak turut mengedarkan Pelekat Nombor Kecemasan 2025 Dato Sri kepada orang ramai yang mereka temui.
Usaha ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat, malah ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar serta berswafoto bersama Dato Sri Lee sambil memegang pelekat tersebut. -EDISI UKAS