KUCHING: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan sektor pelabuhan di negeri ini supaya lebih berdaya maju.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, penubuhan satu badan ‘authority’ atau pihak berkuasa untuk mengurus dan mentadbir kesemua pelabuhan yang ada di Sarawak diyakini dapat mendatangkan banyak kebaikan.
Menurutnya, penguatkuasaan Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 dapat memaksima kutipan di setiap pelabuhan di negeri ini dengan penyeragaman dasar-dasar dan hala tuju di bawah satu badan kawal selia pelabuhan iaitu Lembaga Pelabuhan Sarawak.
“Dengan cara ini pengurusan dan pentadbiran pelabuhan-pelabuhan Sarawak juga akan lebih bersepadu dalam penyelarasan fungsi-fungsi pelabuhan-pelabuhan Sarawak.
“Antaranya penetapan kluster ekonomi setiap pelabuhan bagi mengelakkan persaingan yang negatif, pengurusan pengagihan sumber antara pelabuhan-pelabuhan bagi memastikan penggunaan sumber yang optima serta berfungsi dengan cekap," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak 2024 pada Selasa.
Safiee manambah, Lembaga Pelabuhan Sarawak juga akan membangunkan pelabuhan-pelabuhan Sarawak secara strategik dan kos efektif dengan merancang pembangunan pelabuhan secara menyeluruh berdasarkan kekuatan masing-masing serta merancang pembangunan pelabuhan yang berarah kepada kluster ekonomi masing-masing.
Katanya, ia termasuk membolehkan penyusunan semula antara pelabuhan-pelabuhan secara strategik berdasarkan kapasiti pelabuhan masing-masing bagi mengelak risiko lebihan bekalan.-EDISI UKAS