SIBU: Lan Berambeh Sungkei 2025 Bahagian Sibu Edisi Ke-7, menampilkan kelainan pada tahun ini dengan bertemakan Busana Tradisional.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, seramai 20,000 peserta disasarkan menyertai Lan Berambeh Sungkei yang bakal diadakan pada 15 Mac ini.
Menurutnya, program anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak itu akan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I bermula jam 4 petang.
"Ia berkonsepkan 'potluck' di mana pengunjung perlu membawa juadah masing-masing dan saling bertukar juadah sepertimana tradisi kita sejak turun-temurun.
"Ia telah dilaksanakan sebanyak enam edisi yang mana pada tahun ini merupakan edisi ketujuh.
"Program ini mula dilaksanakan sejak 2017 sebagai edisi pertamanya dengan tahun 2020 dan 2021 tidak diadakan susulan pandemik COVID-19,” katanya demikian dalam Sidang Media Majlis Lan Berambeh Sungkei 2025 Bahagian Sibu di Bilik Mesyuarat Tingkat 5 Pejabat Residen Sibu pada Sabtu.
Beliau memberitahu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee dan Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang dijangka hadir memeriahkan majlis tersebut kelak.
Menurutnya lagi, objektif program adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat tidak mengira kaum dan agama dengan mewujudkan budaya 'berambeh' sekali gus memeriahkan sambutan bulan Ramadan.
Di samping itu, Abang Mohamad Porkan berkata, program tahunan sedemikian juga berpotensi menggalakkan pengunjung atau pelancong daripada daerah atau negeri lain datang ke Bahagian Sibu untuk menyaksikan sendiri budaya toleransi dan perpaduan warga Sarawak.
"Kami menjemput wakil rakyat tempatan, ketua-ketua jabatan, persatuan dan orang awam untuk hadir berama-ramai dengan mengenakan pakaian temanya busana tradisional.
"Sungkei bermula pada jam 6.46 petang yang akan dimulakan dengan gimik memukul beduk oleh tetamu kehormat sebelum sungkei beramai-ramai diadakan.
"Pengisian programnya ialah agihan sumbangan daripada agensi atau jabatan yang terdiri daripada pelbagai juadah seperti bubur pedas, bubur lambuk, kurma, mi kolok, nasi ayam dan pelbagai lagi," katanya.
Ujarnya lagi, bagi memeriahkan program, Pertandingan Bedil, Pertandingan Teter Beduk dan Pertandingan Busana Terkacak dan Tercantik juga akan turut diadakan.
Oleh itu, beliau sangat mengalu-alukan pengunjung dari luar Sibu yang berdekatan menyertai program ini seperti Sarikei, Kapit dan Mukah. Bahagian atau negeri lain juga sangat dialu-alukan untuk memeriahkan lagi program ini. -EDISI UKAS