Bekalan Air Di Kawasan Pantai Damai Kini Capai 95 Peratus

Disiarkan pada 01 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kawasan Pantai Damai kini mencatatkan kemajuan dalam usaha memastikan bekalan air yang mencukupi, dengan 95 peratus kawasan tersebut telah menikmati bekalan air sepenuhnya.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata lebihan lima peratus daripada kawasan tersebut akan turut menerima bekalan air dalam masa terdekat.

Menurutnya, kawasan berkenaan melibatkan penempatan baharu serta beberapa kampung yang masih dalam proses pendaftaran untuk diwartakan.

"Saya boleh katakan bahawa 95 peratus kawasan Pantai Damai kini sudah mempunyai bekalan air sepenuhnya.

“Sebahagian kecil lagi, lima peratus, terdiri daripada kawasan penempatan baru dan dua buah kampung yang masih menunggu pengesahan untuk digazet. Selepas itu, bekalan air akan disediakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Projek Bekalan Air Luar Bandar Kampung Nyabut dan Kampung Trombol di Surau Kampung Nyabut pada Sabtu.

Selain itu, Dr Abdul Rahman turut mengakui bahawa beberapa kawasan di Pantai Damai masih berdepan dengan masalah tekanan air rendah disebabkan sistem perparitan yang sudah lama.

Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa masalah ini dapat dikawal, namun pengguna perlu lebih berhati-hati terutama pada waktu puncak di mana penggunaan air tinggi dan menyebabkan tekanan air berkurang.

"Jika berlaku masalah kekurangan air, saya menggesa penduduk untuk segera melaporkan kepada agensi berkaitan, iaitu Lembaga Air Kuching dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB). Kami akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini," tambahnya.

Sementara itu, projek bekalan air untuk Kampung Nyabut dan Kampung Trombol telah siap sepenuhnya dengan kos sebanyak RM4 juta, yang turut memanfaatkan lebih banyak penduduk luar bandar di kawasan tersebut.- EDISI UKAS