41 Masjid & Surau Kawasan DUN Nangka Terima Sumbangan Khas Ramadan

Disiarkan pada 01 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Sebanyak 41 masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka menerima sumbangan khas sempena bulan Ramadan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM205,000 daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bersama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS).

Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, sumbangan ini tidak hanya diberikan kepada masjid dan surau di kawasan awam, tetapi juga meliputi surau-surau di kem tentera dan sekolah-sekolah, dengan masing-masing menerima RM5,000.

“Setiap tahun, kami dari Pusat Khidmat DUN Nangka bersama LAKIS menghulurkan bantuan untuk kegunaan masjid dan surau, khususnya semasa Ramadan.

"Inisiatif seumpamanya bertujuan untuk membantu menjalankan program-program dan keperluan sepanjang bulan Ramadan,"katanya ketika berucap menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan dalam satu majlis ringkas, di Masjid An-Nur Sibu pada Jumaat.

Hadir sama ialah Setiausaha LAKIS, Jamil Julaihi.

Dalam ucapan sama, Datuk Dr. Annuar turut mengajak wakil dari setiap masjid dan surau yang menerima sumbangan untuk hadir pada program 'Al-Quran Hour' yang dijadualkan pada 23 Mac ini, di Dewan LAKIS.-EDISI UKAS