KOTA SAMARAHAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak dan Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan, telah menganjurkan Ceramah Perdana bertajuk "Tadabbur Al-Quran: Menyelami dan Hikmah di Bulan Ramadan".
Ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Mohamad Ihsan Haidzir, membincangkan aspek penting tadabbur Al-Quran sebagai panduan kehidupan dan persiapan menyambut bulan Ramadan.
Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan mendalami dan menghayati makna setiap ayat Al-Quran sebagai bekal untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan Bahrin Kawi, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang dan Pengerusi Masjid Darul Naim Baru Kampung Baru Ibrahim Piee.
Kehadiran pengerusi-pengerusi masjid dan surau sekitar daerah Samarahan turut memeriahkan majlis ilmu ini.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman umat Islam tentang Al-Quran membimbing mereka dalam mempersiapkan diri untuk menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan. -EDISI UKAS