Faktor 'Wow' Bantu Tingkat Keterlibatan Orang Ramai Dalam Acara-Acara Tonggak

Disiarkan pada 28 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Faktor ‘wow’ dalam penganjuran acara-acara tonggak mampu mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan sekaligus mendorong orang ramai hadir serta menyokong acara seumpamanya pada masa depan.

Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini berkata, agensi-agensi yang terlibat harus merancang pengisian yang mampu menarik minat warga awam sama ada secara langsung di lokasi mahupun menerusi siaran digital dan televisyen.

Dalam hal ini, beliau menekankan kepentingan Bengkel Acara-Acara Tonggak sebagai platform memperkasakan penganjuran acara tonggak rasmi.

“Program yang dirancang perlu lebih segar dan memberikan kelainan dalam persembahan bagi mewujudkan faktor ‘wow’ kepada penonton di lokasi dan di televisyen.

“Keterlibatan bakat-bakat orang tempatan, kebijaksanaan pengendalian teknikal dan susun atur program adalah antara aspek yang boleh menarik minat orang awam untuk menyaksikan pengisian dalam setiap sambutan perayaan tersebut,” katanya dalam Bengkel Acara-Acara Tonggak 2025 di sini pada Jumaat.

Bengkel yang diadakan selama tiga hari tersebut disertai 38 wakil dari pelbagai agensi dan melibatkan sesi perkongsian, perbincangan dan pembentangan berkumpulan dan ‘wrap up’ bagi menilai pengisian yang terbaik untuk dibentangkan kepada pihak berkepentingan di peringkat Sarawak.

Kerajaan Sarawak melalui UPPANS merupakan penganjur utama bagi lima acara tonggak di Sarawak iaitu Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Agong, Sambutan Perayaan Hari Sarawak, Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan, Sambutan Perayaan Hari Malaysia dan Sambutan Perayaan Hari Jadi Tuan Yang Terutama yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Pada bengkel kali ini, UPPANS turut menjemput Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin bagi berkongsi pengalaman dalam menyusun atur acara-acara kebangsaan di peringkat Persekutuan.

Hadir sama pada bengkel tersebut adalah Ketua Bahagian Unit Protokol, istiadat dan Pengurusan Acara, Wan Fauzi Wan Ismail dan Penolong Pengarah JKKN, Mohammad Husri Morni.-EDISI UKAS