KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) belum mempunyai cadangan untuk membina stadium tertutup baharu, padang bola sepak sintetik dan padang hoki di Bahagian Mukah.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kajian secara terperinci perlu dilakukan untuk mengambil kira keperluan masa hadapan, minat dalam sukan dan juga prasarana sukan yang ada di bahagian berkenaan.
Menurutnya, fasiliti sukan yang sedia ada di Mukah seperti Stadium Mukah sedang dinaik taraf untuk Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 bagi acara sukan bola sepak (lelaki).
“Ini meliputi penyelenggaraan dan penjagaan kualiti padang bola sepak dan prasarana asas.
“Pihak MYSED pada masa ini juga memberi tumpuan kepada fasiliti-fasiliti khusus untuk venue penganjuran SUKMA XXI Sarawak 2024," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dato Gerald bagaimanapun berkata, pihak kementerian akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan Dewan Sukan Tertutup Mukah di bawah kelolaan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).-EDISI UKAS