RM20 Juta Diluluskan Perkasa Program Pemantapan Pendidikan Sarawak

Disiarkan pada 28 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Kerajaan Sarawak terus komited dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP).

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata, program ini memberi fokus kepada pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 yang memperoleh markah 39 atau 40 ke bawah dalam mata pelajaran kritikal bagi memperkukuh penguasaan mereka.

“Kita memberi perhatian kepada mata pelajaran utama seperti Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains untuk Tingkatan 3, serta Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Matematik bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Promosi Pendidikan Sekolah di sini, pada Khamis.

Menurutnya, inisiatif ini telah menunjukkan perkembangan positif apabila Gred Purata Negeri (GPS) Sarawak mencatatkan peningkatan dan kini berada di bawah paras 5.0.

“Dalam tempoh lima tahun, kita menyasarkan untuk mencapai tahap sekurang-kurangnya setanding dengan gred purata nasional sekitar 4.5,” tambahnya.

Tahun lalu, seramai 58,000 pelajar telah menyertai SEEP dan jika program ini mencapai matlamatnya, ia akan diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 1 dan 2.

Dalam perkembangan lain, Dr. Annuar turut mengumumkan bahawa pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang layak akan menerima pendidikan percuma jika mereka menyambung pengajian ke universiti milik kerajaan negeri.

Bagi pelajar YSISS yang mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan dibenarkan mengambil enam mata pelajaran dan diberikan bimbingan khas bermula Jun atau Julai sebelum peperiksaan, katanya.

“Kebanyakan sukatan pelajaran International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) adalah setaraf dengan SPM, jadi pelajar yang cemerlang dalam IGCSE berpotensi memperoleh keputusan baik dalam SPM,” jelasnya.

Dalam pada itu, seramai 100 pelajar YSISS dari Sibu yang kini ditempatkan di YSISS Kuching dijangka akan berpindah semula ke YSISS Sibu selepas perayaan Gawai Dayak.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Selangau, Ringgit @ Gawan Saut, Pegawai Tadbir Khas Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Wes Mirid dan Pengetua Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS), Jimali Sunang.-EDISI UKAS