Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Terima Kunjungan Hormat Daripada AFFIN & SMG

Posted on 07 May 2024
Source of News: UKAS



KUCHING: Kumpulan AFFIN dengan Sarawak Media Group (SMG) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang di Wisma Sabati di sini pada Selasa.
 
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Pengerusi SMG, Dato Norhyati Ismail dan diiringi Ketua Komuniti Pengagihan Cawangan, Kumpulan AFFIN, Johanna Abdullah.
 
Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk menjemput Puan Sri Datuk Amar Juma'ani bagi menghadiri Majlis Ziarah Raya Kumpulan Affin dan TVS bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Satok serta Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) pada 9 Mei 2024.
 
Majlis tersebut diadakan sejajar dengan hala tuju strategik PPDK dan PAWE dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penjagaan anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas dalam pelbagai aspek seperti pembangunan kemahiran asas, pembangunan kognitif mental, pembelajaran berkaitan keagamaan dan lain-lain lagi.
 
Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Kushairi Abang, Ketua Pegawai Media SMG, Mohamad Sardon Zainal, Pengarah Deposit Wilayah, Kumpulan AFFIN, Andy Ismail serta tetamu lain.-EDISI UKAS