SIBU: Kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf Jalan Kwong Ting, Sungai Bidut telah bermula, dengan tumpuan kepada meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta mengatasi masalah takungan air.
Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau, memaklumkan bahawa projek ini telah dimulakan semalam dan akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
“Kami berharap dan akan memastikan bahawa kawasan utama yang dinaik taraf termasuk bahagian jalan yang sering mengalami takungan air banjir.
“Selain itu, pelebaran di selekoh jalan juga perlu dilakukan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya semasa melakukan pemantauan Projek Naik Taraf Jalan Kwong Ting, Sungai Bidut pada Rabu.
Menurut Kevin lagi, cadangan projek ini telah dikemukakan kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) pada tahun lalu (2024) dan berjaya memperoleh peruntukan melalui Sistem Rekod Jalan Malaysia (MARRIS Fund) bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan tersebut.
Tegas beliau, pasukannya akan terus memantau perkembangan projek ini sehingga ia siap sepenuhnya, termasuk menjalankan pemeriksaan akhir bersama pihak berkuasa berkaitan.
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kapitan Tang Chuo Ging atas komitmen beliau dalam menjaga kebajikan penduduk serta memastikan keadaan jalan di kawasan itu sentiasa diberi perhatian. -EDISI UKAS