Raptai Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah Al-Quran Sarawak Berjalan Lancar

Disiarkan pada 27 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Raptai penuh bagi Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak 2025 telah berlangsung dengan lancar di Dewan Suarah Kota Samarahan hari ini.

Raptai ini diadakan bagi memastikan kelancaran majlis sebenar yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam ini.

Acara ini bakal menyaksikan penyampaian hadiah kepada para Qari, Qariah, Hafiz dan Hafizah yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan tilawah dan menghafaz Al-Quran yang berlangsung sebelum ini.

Raptai ini melibatkan semua pihak yang terlibat termasuk wakil dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pejabat Residen Bahagian Samarahan, urusetia pertandingan serta peserta yang bakal menerima anugerah.

Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah Al-Quran dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak 2025 merupakan acara tahunan yang bertujuan mengangkat martabat seni tilawah dan menggalakkan penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pada malam ini akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis serta memberi sokongan kepada para peserta yang telah berusaha dengan gigih dalam pertandingan ini.-EDISI UKAS