Mangsa Banjir Bintulu Terima Sumbangan RM50,000 dari Tiga Syarikat Korporat

Disiarkan pada 27 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Tiga syarikat korporat, iaitu Nissin Shoji, TSCH International Trading Sdn. Bhd., dan BBC Plantation Sdn. Bhd., tampil menghulurkan sumbangan RM50,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bintulu (JPBB) bagi membantu mangsa banjir di daerah ini.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Crown Dynasty Restaurant, Bintulu, pada Rabu dengan kehadiran pemimpin industri dan wakil-wakil syarikat.

Menurut Presiden Nissin Shoji, Hiroaki Tsutsui, pihaknya amat bersimpati dengan kesan bencana yang melanda dan berharap bantuan ini dapat membantu komuniti yang terjejas bangkit semula.

“Sebagai negara yang sering berdepan bencana alam, kami memahami cabaran yang dihadapi oleh mangsa banjir. Sumbangan ini adalah tanda sokongan kami terhadap komuniti tempatan,” katanya.

Selain bantuan kewangan, Nissin Shoji turut melaksanakan pelbagai inisiatif sosial untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat serta menyokong kelestarian ekonomi dan alam sekitar di Sarawak.

Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga lambang solidariti antara sektor korporat dan komuniti dalam menghadapi cabaran bencana, serta mengukuhkan usaha pemulihan pasca-banjir.

Majlis ini turut disertai Pengarah Urusan TSCH International Trading Sdn. Bhd., Allan Yek serta Pengarah BBC Plantation Sdn. Bhd., Leonard Yek.-EDISI UKAS