1,143 Projek Rumah Panjang Dibina, Libat Pinjaman Cecah RM517.39 Juta

Posted on 26 Feb 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Sebanyak 24,747 pintu rumah telah dibina melibatkan sebanyak 1,143 projek rumah panjang dengan jumlah pinjaman mencecah RM517.39 juta setakat Februari tahun ini.

Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkasakan komuniti rumah panjang dengan meneruskan Skim Pinjaman Rumah Panjang yang diperkenalkan sejak 1978.

Bagi memastikan keberkesanan skim ini, Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) telah mempergiat penganjuran Program Randau di beberapa kawasan projek di seluruh negeri sepanjang tahun 2024.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran peminjam mengenai kepentingan pembayaran balik pinjaman serta memperkenalkan kaedah pembayaran yang lebih moden dan mudah, termasuk JomPAY, Sarawak Pay, Service Sarawak, CDM CIMB, dan kiosk UTC/RTC.

Selain itu, program ini juga mempromosikan skim pinjaman kepada rumah panjang yang belum memohon bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaat yang disediakan.

HDC turut berkongsi maklumat mengenai kemudahan insurans kebakaran, yang memberi perlindungan tambahan kepada peminjam sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pengerusi HDC, Abdul Yaakub Arbi berkata, program ini merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan skim ini terus digunakan secara meluas.

“Kerajaan Sarawak berharap melalui pelaksanaan Program Randau, masyarakat rumah panjang dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pembayaran balik pinjaman dan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan.

"Ini juga selaras dengan usaha memelihara warisan budaya serta memastikan rumah panjang yang dibina kukuh, selamat, dan tahan lama,” ujarnya semasa Progam Randau di Dewan Suarah Sri Aman pada Rabu.-EDISI UKAS