KUCHING: Dana sebanyak RM2.25 bilion telah diperuntukkan bagi melaksanakan program intervensi menambah baik dan mempercepatkan penyediaan kemudahan telekomunikasi untuk akses internet di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, peruntukan tersebut menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri yang pada mulanya berjumlah RM1.89 bilion.
Menurut beliau, selaras dengan intervensi Kerajaan Sarawak, usaha untuk menambah baik liputan internet di kawasan DUN Dudong juga mendapat perhatian apabila sebanyak lima menara telekomunikasi menerusi projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) diperuntukkan.
"Dua menara telah beroperasi manakala tiga lagi masih di pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat sehingga suku pertama 2025.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak 16 menara telekomunikasi di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 menara telah siap dan beroperasi, manakala baki tiga menara masih di pelbagai peringkat pelaksanaan sehingga suku keempat tahun 2024,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Mengenai perancangan untuk menangani masalah liputan telekomunikasi yang kerap terputus di Jalan Naman dan Jalan KJD serta kampung-kampung yang terlibat di kawasan DUN Dudong, Datuk Liwan berkata, terdapat 14 menara telekomunikasi sedia ada yang beroperasi di sepanjang Jalan Naman dan Jalan KD yang menyediakan perkhidmatan 4G yang memberi liputan untuk kawasan berpenduduk di sepanjang jalan tersebut.
Tambahnya, SKMM sentiasa menjalankan aktiviti audit rangkaian merangkumi ujian kualiti panggilan suara secara berkala di seluruh Sarawak termasuk di kawasan Dudong bagi memastikan pematuhan ke atas piawaian mandatori yang ditetapkan.
ADUN Belaga itu mendedahkan sebanyak 15 menara telekomunikasi 4G baharu yang telah beroperasi di DUN Dudong iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya, Rimbunan Hijau Headquarters, Sibu Jaya Public Park, Sibu Jaya Flat, Lorong Sibu Jaya, Jalan Salem, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai Naman, SK Ulu Sungai Sengan, Rumah Ledom Stabau, SK Sungai Menyan, Rumah Nanga, SK Assan Nunggang, Jalan Salim Stabau 3, Sg Ulu Menyan dan Simpang Kanowit. -EDISI UKAS