Program CEPA Tingkat Kesedaran Masyarakat Sematan Tentang Tapak Biosfera UNESCO

Disiarkan pada 25 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SEMATAN: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu Tanjong Datu mengukuhkan peranan mereka sebagai duta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan merebut peluang untuk mengiktiraf kawasan Gunung Pueh sebagai Tapak Biosfera UNESCO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, pengiktirafan ini akan menjadikan Sematan terkenal di mata dunia melalui tarikan ekopelancongan yang ditawarkan, khususnya di DUN Tanjong Datu.

Menurutnya, adalah amat penting bagi masyarakat di Sematan untuk mengetahui kelebihan kawasan yang dipilih sebagai tapak biosfera.
"Melalui pengiktirafan UNESCO ini, masyarakat boleh merebut peluang untuk meningkatkan ekonomi," katanya semasa merasmikan Program Kempen Kesedaran Awam (CEPA) di Tapak Biosfera UNESCO Tahun 2025 di Dewan Kampung Tanah Hitam, Sematan pada Selasa.

Azizul menambah, amat penting bagi masyarakat di Sematan khususnya mengetahui kelebihan kawasan yang telah dipilih sebagai tapak biosfera.

Seramai 128 orang peserta dari 13 kampung dalam Daerah Kecil Sematan telah menghadiri program tersebut.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Konservasi Hutan dan Pembangunan) Jabatan Hutan Sarawak, Happysupina Sait, Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha dan Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Kecil Sematan, Mohd Amerullah Roslan.-EDISI UKAS