Pembinaan Jalan Dari Jambatan Batang Lupar 02 Menuju Betong Kini 50 Peratus Siap

Disiarkan pada 25 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Projek pembinaan jalan dari Jambatan Batang Lupar 02 menuju ke Betong yang merupakan sebahagian daripada pakej Sarawak Second Trunk Road (Package B4) menghubungkan Sri Aman ke Betong kini telah 50 peratus siap.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, projek ini penting kerana jajaran sepanjang 28km ini bakal menjadi laluan alternatif yang lebih pendek dari Betong ke Sri Aman berbanding Jalan Pan Borneo sedia ada.

Namun, beliau menegaskan agar pihak kontraktor mengambil tindakan segera bagi menangani kelewatan kecil dalam jadual kerja serta menambah tenaga kerja jika perlu.

Selain itu, beliau turut menekankan aspek keselamatan pengguna jalan raya kerana jajaran projek ini turut melibatkan jalan sedia ada dari Simpang Betong ke Bandar Betong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa turun padang untuk menghadiri taklimat serta melakukan tinjauan ke tapak projek tersebut bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu turut menggesa agar penyelenggaraan dan langkah keselamatan ditingkatkan berikutan beberapa insiden kemalangan yang berlaku baru-baru ini akibat keadaan jalan yang rosak dalam kawasan projek.

Dalam taklimat tersebut, beliau telah dimaklumkan oleh wakil kontraktor utama, Wan Suleiman Wan Sadi dari Verde FM Sdn. Bhd mengenai perkembangan semasa projek yang setakat ini telah mencapai 50.23 peratus kemajuan fizikal, sedikit di belakang jadual sebanyak 1.37 peratus.

Sesi perbincangan turut menekankan kepentingan mempercepatkan pelaksanaan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual asal pada Jun 2026.

Lawatan ini turut dihadiri Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas, Jurutera Bahagian JKR Betong Jason Ng Boon Tuan, Wakil Pegawai Daerah Betong Audri Choo serta pegawai dan kontraktor yang terlibat dalam projek berkenaan. - EDISI UKAS