JEPUN: Kerajaan Sarawak dan New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO) Jepun telah mengadakan dialog bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan tenaga lestari dan industri.
Mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat NEDO di Kawasaki pada Selasa itu dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Eksekutif NEDO, Dr. Iimura Akiko dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.
Menurut kenyataan akhbar, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mencapai masa depan yang mampan.
Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah yang mengetuai delegasi Sarawak menggalakkan kerjasama lebih lanjut dengan NEDO serta menekankan komitmen Sarawak terhadap inisiatif hijau.
“NEDO telah membentangkan gambaran keseluruhan mengenai projek-projek canggih mereka serta usaha pembangunan antarabangsa dalam bidang utama seperti Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), teknologi hidrogen dan ammonia, sumber tenaga boleh diperbaharui serta ekonomi kitaran,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, delegasi Sarawak telah menggariskan inisiatif negeri serta rangka kerja pembangunan semasa yang berkaitan dengan pelan kelestarian, strategi peralihan tenaga dan matlamat peralihan kepada sifar bersih.
“Pembentangan tersebut menampilkan dedikasi Sarawak untuk menjadi peneraju dalam kelestarian alam sekitar serta tenaga boleh diperbaharui termasuk teknologi hijau.
“Perbincangan juga menonjolkan sokongan sedia ada daripada NEDO terhadap projek mikroalga di Sarawak yang bertujuan menghasilkan bahan api penerbangan lestari (SAF), sekali gus menjadi contoh kukuh kepada kerjasama yang sedang berlangsung,” menurutnya.
Selepas pembentangan daripada kedua-dua pihak, para peserta turut terlibat dalam perbincangan dan pertukaran pandangan bagi meneroka peluang projek bersama serta perkongsian pengetahuan. -EDISI UKAS