KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini merasmikan George Y. Residence di Batu Lintang.
Perasmian ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan NAIM Kuching Paragon.
George Y. Residence ialah projek kediaman eksklusif oleh Peranan Makmur Sdn Bhd, hasil kerjasama NAIM Land Sdn Bhd, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, dan Tabung Baitulmal Sarawak.
Bangunan setinggi 13 tingkat ini menawarkan 17 unit penthouse eksklusif dan terletak di lokasi strategik berhampiran stesen SM12 Autonomous Rapid Transit (ART) serta kawasan komersial yang sedang berkembang.
Majlis ini turut menyaksikan upacara pecah tanah bagi pembinaan Hospital Gleneagles oleh IHH Healthcare Berhad di kawasan NAIM Kuching Paragon.
Kehadiran hospital ini akan mengukuhkan kawasan tersebut sebagai hab pelancongan perubatan selaras dengan visi Sarawak untuk meningkatkan akses kesihatan dan pembangunan bandar.
Dengan kemudahan moden dan rangkaian perhubungan yang baik, George Y. Residence dijangka menjadi penyumbang utama kepada perubahan landskap Batu Lintang.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Pengarah Urusan Kumpulan NAIM,
Datuk Hasmi Bin Hasnan, Lembaga Pengarah NAIM, Tan Chuan Dyi, Emily Hii San San dan Ailsa Hasmi dan dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS