DARO: Kawasan Pulau Bruit berpotensi dimajukan sebagai kawasan pengeluaran bekalan makanan di zon tengah Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, dianggarkan tidak kurang 800 hektar tanah di sekitar Pulau Bruit yang belum diusahakan namun berpotensi untuk dimajukan sebagai tapak aktiviti pertanian atau penternakan.
“Pulau Bruit yang ada 13 penempatan mempunyai seramai 1004 orang pekebun yang mengusaha pelbagai jenis tanaman buah-buahan dan juga seramai 870 orang pesawah padi.
“Anggaran keseluruhan keluasan tanah yang diusahakan oleh pekebun dan pesawah padi ialah seluas 1211 hektar,” katanya kepada UKAS semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Bulan Ramadan 2025 bagi Masjid dan Surau Kawasan DUN N.42 Semop pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai potensi Pulau Bruit sebagai pengeluar bekalan makanan semasa Majlis Perasmian Jambatan Muara Lassa pada Sabtu lepas.
Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menjelaskan, walaupun potensi aktiviti pertanian mampu dimajukan di Pulau Bruit kerana faktor tanah yang subur, namun antara cabaran dan kesukaran yang sering dialami oleh masyarakat tani di sana ialah hadangan air atau ban yang sentiasa pecah sehingga merosakkan sebahagian besar kawasan tanaman dan sawah mereka.
“Walaupun peruntukan sebanyak RM21 juta telah diluluskan oleh Premier dan disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk projek membaiki ban pecah tetapi masih banyak kawasan ban yang perlu diberi perhatian dan tindakan segera,” jelasnya lagi.
Jelas Datuk Abdullah, warga tani juga memerlukan bantuan kerajaan di peringkat awal dari segi khidmat nasihat pakar, bekalan benih yang bermutu tinggi dan pembelian jentera pertanian bagi menyahut seruan Premier Sarawak terhadap pertanian moden.
Beliau menambah turut membangkitkan kepada Premier Sarawak tentang usaha untuk menambah baik kemudahan untuk warga nelayan dan juga permohonan kepada menteri berkaitan tentang cadangan untuk merancakkan lagi program penternakan lembu dan kambing di Pulau Bruit.
Katanya, Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Bruit (PNK) mempunyai keahlian seramai lebih kurang 2000 orang di mana seramai 900 adalah nelayan aktif.
“Dengan siapnya Jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa menghubungi Pulau Bruit, masyarakat dari kawasan tersebut akan lebih mudah dan cepat untuk membekal dan memasarkan hasil laut dan tani ke pasaran luar,” tambah Datuk Abdullah lagi.
Mengulas mengenai sumbangan tersebut, beliau berkata ia merupakan usaha berterusan dalam memastikan kemudahan ibadah bagi masyarakat Islam di kawasan DUN Semop sentiasa terjaga dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang bulan Ramadan.
Penerima sumbangan terdiri daripada jawatankuasa pengurusan masjid dan surau yang akan bertanggungjawab menguruskan dana tersebut bagi memastikan aktiviti keagamaan dapat berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat, katanya.
“Sumbangan ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam memperkukuhkan institusi masjid dan surau sebagai pusat pembangunan sosial dan keagamaan di peringkat komuniti,” jelas Datuk Abdullah.
Sebanyak 17 masjid dan sembilan surau dalam kawasan DUN Semop telah menerima sumbangan berjumlah keseluruhan RM34,500 yang diadakan secara ringkas di empat lokasi utama, iaitu Masjid Kampung Penipah, Masjid Kampung Betanak, Dewan Kampung Semop dan Dewan Masyarakat Kampung Melayu Bintangor. - EDISI UKAS