KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menyokong penggabungan perubatan timur dan barat termasuk pembangunan pusat penyelidikan bagi perubatan tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan, Sarawak mempunyai asas tumbuhan yang dapat menghasilkan ubat-ubatan baharu.
"Prosedur perubatan Timur dan juga prosedur perubatan Barat boleh digabungkan, dan mungkin kita di Sarawak sangat bertuah kerana masih mempunyai banyak pokok dan tumbuhan.
"Tidak seperti negara lain yang tidak mempunyai sumber tumbuhan, mereka hanya menumpukan kepada kaedah penyelidikan Barat.
"Malah, ketika saya melawat Samsung Biologics di Seoul, mereka sedang meneroka kemungkinan menggabungkan perubatan Timur dan perubatan Barat, terutamanya dalam rawatan kanser," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Hospital Gleneagles Batu Lintang di sini pada Isnin.
Jelasnya, prosedur gabungan perubatan menjadi salah satu proses di mana dunia akan mencari penyelesaian terbaik untuk membunuh sel kanser tanpa mengganggu sel lain.
Hal ini ditambah lagi dengan Sarawak akan membangunkan pusat kanser tersendiri yang akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak terlebih dahulu dan dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Pengerusi IHH Healthcare Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healhtcare Dr Prem Kumar Nair, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Jean-Francois Naa serta Ketua Pegawai Eksekutif Timberland Medical Center dan Hospital Gleneagles Kota Kinabalu Dr Kelvin Ch'ng. -EDISI UKAS