ADUN Kabong Hadiri Majlis Penutupan Pertandingan Petanque, Umum Projek Naik Taraf Arena

Disiarkan pada 23 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KABONG: Sebanyak 36 pasukan telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Petanque Double Santai yang berlangsung pada 22 hingga 23 Februari di Arena Petanque Kabong.

Hadir menyempurnakan Majlis Penutupan kejohanan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato’ Mohd Chee Kadir pada Ahad.

Kejohanan anjuran Pusat Khidmat DUN Kabong dengan kerjasama Kelab Boules Kabong ini menawarkan hadiah wang tunai, piala iringan, medal dan sijil penyertaan kepada pemenang.

Keputusan rasmi pertandingan menyaksikan pasukan KePS 3 (Saratok) dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang wang tunai RM800 berserta medal, manakala KePS 1 (Saratok) muncul naib johan dengan hadiah RM600 dan medal.

Tempat ketiga dimenangi oleh KBK1 (Kabong) yang menerima RM300 dan medal, sementara Rejang 4 (Rejang) di tempat keempat memperoleh RM200 dan medal.

Bagi tempat ke-5 hingga ke-8 pula, setiap pasukan menerima wang tunai RM80 sebagai penghargaan.

Sementara itu dalam ucapannya, Dato’ Mohd Chee mengumumkan beberapa projek naik taraf bagi Arena Petanque Kabong, termasuk penambahan 32 unit padang petanque bagi menampung lebih banyak penyertaan, pembinaan galeri penonton untuk keselesaan pengunjung, pembinaan blok asrama sebagai kemudahan peserta pertandingan, serta penambahbaikan sistem elektrik di sekitar arena.

Penganjuran kejohanan ini katanya bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan tetapi juga memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Hadir sama isteri ADUN Kabong, Datin Meryani Yasin, Presiden Persatuan Boules Sarawak Datuk Wan Abdullah Edruce Wan Abdul Rahman serta Presiden Kelab Boules Kabong Ahmad Nazry Maini.-EDISI UKAS