Persatuan Cosplay Miri Didaftar Secara Rasmi

Posted on 22 Feb 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Persatuan Cosplay Miri yang bakal menjadi mercu tanda inovasi dan perpaduan bagi peminat ‘cosplay’ di Sarawak telah didaftarkan secara rasminya di Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Berita baik penubuhan persatuan itu dikongsi oleh ahli jawatankuasa persatuan itu kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew ketika melakukan kunjungan terhadap beliau pada Jumaat.

Pada pertemuan ringkas di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau, Datuk Sebastian memberi maklum balas positif dan menyokong idea penubuhan persatuan itu.

Menurut ADUN Piasau itu, persatuan ini diyakini dapat menghidupkan penganjuran aktiviti-aktiviti ‘cosplay’ di Miri.

“Lebih daripada sekadar kumpulan hobi, objektif persatuan ini mampu membentuk generasi muda Sarawak yang lebih berkeyakinan dan berkreativiti tinggi melalui peminat kostum dan karakter,” ujarnya.

Dengan tertubuhnya persatuan ini ujarnya, Miri bukan lagi sekadar bandar minyak atau pintu masuk ke Taman Negara Niah atau Mulu tetapi ia sedang bertransformasi menjadi ibu kota seni alternatif Asia Tenggara iaitu tempat di mana seni tradisi tempatan bakal diberi nafas baru hasil teknologi dan seni kreatif moden.

“Inilah masanya untuk dunia melihat kreativiti anak Sarawak dalam arus pemodenan Sarawak. Semoga ia sentiasa menjadi obor yang menerangi dunia," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Muhd Azruld Anan ketika ditemui berkata, Persatuan Cosplay Miri tidak hanya berhasrat menganjurkan acara atau pertandingan tetapi merancang revolusi seni.

Ujarnya, pelbagai program dan inisiatif menarik sepanjang tahun ini telah dirancang dan dikongsi bersama Datuk Sebastian termasuk kerjasama strategik dengan industri pelancongan Sarawak yang bakal menjadikan Miri sebagai destinasi popular pencinta seni cosplay serantau. -EDISI UKAS