SIMUNJAN: Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Samarahan kali ke-22 yang diadakan di Daerah Simunjan telah mencapai kejayaan besar dan penuh bermakna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris mengingatkan bahawa semangat kesukanan, kerjasama dan usaha gigih lebih penting daripada kemenangan semata-mata.
“Tidak kira siapa yang menang atau kalah, yang paling penting adalah semangat kesukanan, kerjasama dan usaha gigih yang telah ditunjukkan.
"Anda semua telah menunjukkan keberanian dan semangat juang yang tinggi,” katanya semasa menyempurnakan majlis penutupan kejohanan tersebut, pada Sabtu.
Beliau turut memberi galakan kepada para peserta untuk terus berusaha dan berlatih kerana kejayaan datang dengan usaha yang berterusan.
“Teruskan berusaha dan jangan berhenti berlatih. Kejayaan bukan datang dengan mudah tetapi melalui usaha yang gigih dan konsisten,” tambah beliau.
Awla turut menegaskan sokongannya terhadap program-program yang memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan pelajar di kawasan Simunjan dan Bahagian Samarahan.
Beliau juga menekankan bahawa kejohanan seperti ini bukan sahaja untuk mencari bakat baru dalam bidang sukan, tetapi juga sebagai platform untuk mempereratkan hubungan antara sekolah-sekolah dan melahirkan generasi muda yang sihat, aktif, dan cergas.
“Marilah kita terus menyokong dan mendorong pelajar-pelajar kita untuk lebih aktif dalam sukan.
Kejohanan seperti ini adalah peluang terbaik untuk mengembangkan bakat sukan mereka serta meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental,” ujar beliau lagi.
Kejohanan merentas desa ini juga merupakan salah satu cara untuk memenuhi seruan Kementerian Pendidikan Malaysia agar memberi pendedahan dan pendidikan awal dalam aktiviti sukan kepada murid-murid di pelbagai peringkat.
Aktiviti merentas desa bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah dapat meningkatkan tahap sosial pelajar, terutamanya apabila ia dijalankan secara beramai-ramai, merentasi pelbagai kaum, budaya dan agama.
Sebanyak 114 buah sekolah dalam bahagian Samarahan telah menyertai kejohanan merentas di Simunjan kali ini yang terdiri 209 orang peserta dari 13 buah sekolah menengah dan seramai 742 orang peserta dari 101 buah sekolah rendah.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kedumpai telah dinobatkan johan keseluruhan bagi kategori sekolah rendah, manakala johan keseluruhan bagi kategori sekolah menengah telah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau
SMK Sebuyau.
Hadir sama adalah Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Sektor Pembangunan Murid Awang Mohmard @ Mohd Awang Ni, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Sektor Pembangunan Murid Dayang Norhasmah Nasron, Pengetua SMK Sri Sadong Hajijah Molhtar, Naib Pengerusi Zon Simunjan Proper Ramlan Bohari dan Timbalan Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan Ismail Ahmad.-EDISI UKAS