BARIO: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala telah menyaksikan penyerahan Sijil Lantikan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) oleh Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie kepada satu Ketua Masyarakat dan tiga Ketua Kaum baharu dalam Majlis Makan Malam Perlantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bario Sentral pada Jumaat.
Ken Paran Matu yang telah dilantik sebagai Penghulu Masyarakat Kelabit Bario Sentral.
Manakala, tiga Ketua Kaum yang baharu adalah Franky Anas Kapong (Ketua Kaum Arur Layun@Pa' Bengar), Enne Gerawat Aran (Ketua Kaum Ulung Palang A) dan Rolland Umong (Ketua Kaum Pa'Ukat).
Dalam ucapannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu mengalu-alukan perlantikan kepada semua ketua masyarakat dan ketua kaum yang baharu dan berharap lantikan baharu dapat menjalankan amanah dengan cemerlang demi kesejahteraan masyarakat Bario.
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mantan ketua kaum, iaitu Mustafa Raja Sewa, Scott Apoi dan Bujang Long atas jasa dan bakti mereka kepada masyarakat di Bario. -EDISI UKAS