SIMANGGANG: Projek Jambatan Batang Lupar 2 dijadualkan siap menjelang Jun 2026.
Difahamkan projek pembinaan jambatan itu menelan kos sebanyak RM223.633 juta dan menghubungkan Sri Aman dengan Lidong di Bahagian Betong.
Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) serta agensi-agensi kerajaan telah mengadakan lawatan ke tapak projek Jambatan Batang Lupar 2 bagi meninjau perkembangan serta isu-isu pelaksanaan projek tersebut.
Lawatan ini turut disertai oleh Residen Bahagan Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang, pegawai dari SIMU, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, pihak konsultan dan kontraktor utama bagi mendapatkan gambaran terperinci mengenai status kerja-kerja pembinaan.
Dalam lawatan tersebut, taklimat mengenai perkembangan projek telah disampaikan oleh pihak kontraktor, Naim Gamuda (NAGA) JV Sdn Bhd.
Jambatan Batang Lupar 2 ini dijangka menjadi mercu tanda baharu bagi daerah Sri Aman.
Dengan ketinggiannya yang bakal mencatat rekod dalam 'Guinness Book of Records' sebagai Jambatan 'Cable-Stayed' tertinggi di Malaysia, ia dijangka menjadi daya tarikan pelancong yang ingin menikmati keindahan panorama Batang Lupar.
Jambatan ini juga berpotensi menjadi lokasi utama bagi pengunjung yang ingin menyaksikan fenomena benak Batang Lupar.
Projek ini diharapkan dapat meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan sekitar serta memberi impak ekonomi positif kepada masyarakat setempat.
Pihak berkuasa optimis bahawa pembinaan jambatan ini akan berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.-EDISI UKAS