Jabatan Hutan Sarawak Nafi Pembalakan Haram Di Saratok

Disiarkan pada 21 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menafikan dakwaan berlakunya aktiviti pembalakan haram di Saratok, seperti yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan baru-baru ini.

Dalam kenyataan media hari ini, JHS merujuk kepada laporan Borneo Post Online bertarikh 20 Februari 2025 bertajuk “GOF Sarawak seizes over RM4.8 mln worth of illegal logs, frozen meat in two operations”, serta laporan muka depan Utusan Sarawak bertarikh 21 Februari 2025 bertajuk “Pembalakan Haram di Saratok Terbongkar”.

Menurut JHS, siasatan bersama yang dilakukan oleh pihaknya bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 19 Februari 2025 mengesahkan bahawa kayu balak yang disita dalam Op Taring Libas merupakan hasil dari kawasan berlesen yang sah bukan daripada kegiatan pembalakan haram.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua kayu balak yang dirampas mempunyai tanda tukul Jabatan Hutan dan tanda tukul hak milik yang sah.

Semakan dalam sistem REVLOG juga menunjukkan kesemua kayu tersebut telah dicukai dan ukuran yang direkodkan adalah konsisten,” jelas kenyataan itu.

Berikutan pengesahan tersebut, tiga lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 56 tahun yang sebelum ini ditahan telah dibebaskan.

Semua kayu balak serta jentera yang dirampas telah diserahkan kembali kepada pemilik lesen yang sah.

JHS turut menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan PGA yang mengeluarkan kenyataan berhubung tangkapan tersebut tanpa merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu.

“Kenyataan yang dibuat terlalu awal tanpa pengesahan boleh menjejaskan imej Kerajaan Negeri Sarawak serta memberi gambaran yang salah kepada orang awam bahawa pembalakan haram masih berleluasa,” tambah kenyataan itu.

JHS mengingatkan bahawa perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat State Illegal Logging Task Force (STFIL) yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau menegaskan bahawa semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam operasi hutan perlu merujuk kepada JHS terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS