Lampu Isyarat Pintar Tambah Baik Aliran Trafik 30 Peratus

Disiarkan pada 21 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Lampu isyarat pintar telah menambah baik aliran trafik sebanyak 30 peratus di seluruh Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, lampu isyarat pintar ini dipasang untuk menyesuaikan aliran trafik secara dinamik dan mengurangkan kesesakan.

Tambahnya, lampu isyarat tersebut yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) itu bertujuan untuk memastikan aliran trafik yang tinggi diberi keutamaan.

“Tetapi ini juga bermakna aliran trafik yang rendah perlu menunggu lebih lama manakala aliran trafik yang tinggi diberi keutamaan.

“Berdasarkan kajian kami (Kementerian Pengangkutan Sarawak), penggunaan lampu trafik pintar sebenarnya telah menambah baik aliran trafik sebanyak 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Inovasi dan Teknologi Borneo (BIT25) di sini pada Jumaat.

Jelasnya, penggunaan lampu trafik pintar ada kelebihannya dan kekurangan namun ini bagi memastikan setiap aliran trafik sentiasa ditambah baik demi pengguna jalan raya terutamanya di waktu puncak.

Ujarnya, teknologi AI turut mempertingkatkan pengurusan pengangkutan dengan menganalisis corak trafik dan meramalkan permintaan, membolehkan serta mengoptimumkan penyelesaian mobiliti.

“Inovasi ini menunjukkan komitmen Sarawak untuk mengembangkan sistem pengangkutan yang lebih moden, berwawasan, dan lestari yang memberikan manfaat kepada masyarakat serta menyokong visi Sarawak untuk masa depan yang lebih hijau dan bijak,” kata beliau.

Persidangan Inovasi & Teknologi Borneo (BIT25) telah berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini yang membawa perbincangan yang berimpak, pandangan industri serta strategi transformasi digital bertujuan untuk melengkapkan perniagaan dengan alat yang diperlukan bagi mengembangkan operasi mereka.

Dianjurkan oleh Karuna Sarawak, acara ini menghimpunkan pemimpin perniagaan, pembuat dasar, dan pakar teknologi untuk meneroka peranan AI, Internet of Things (IoT), keselamatan siber dan penyelesaian perkhidmatan awan dalam membentuk masa depan perniagaan. -EDISI UKAS