Program Anak Kita: SPM 2025 Dilancar Di Sarawak, 1,255 Pelajar Terima Tablet Pendidikan

Disiarkan pada 21 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pelajar di sini kini menerima dorongan baharu dalam persiapan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan peluncuran Program Anak Kita: SPM 2025 dan penyerahan tablet pendidikan peringkat Wilayah Sarawak.

Majlis ini berlangsung di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sebagai sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia, yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pelaksana utama.

Program ini memberi manfaat kepada 1,255 pelajar daripada 128 sekolah di Sarawak, menjadikannya sebahagian daripada usaha nasional yang melibatkan 83,752 pelajar dari 3,458 sekolah di seluruh negara.

Dengan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan bermula Mac 2025 hingga Ogos 2026, program ini bertujuan meningkatkan pencapaian akademik, menangani isu keciciran, dan memperkukuh kadar kelulusan SPM.

Dalam majlis tersebut, pelajar yang menyertai program ini menerima tablet pendidikan yang dilengkapi dengan pelan data percuma selama 13 bulan, membolehkan mereka mengakses bahan pembelajaran digital dan memperkukuh proses pembelajaran dalam talian.

Perunding Program Anak Kita merangkap Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr. Fadzillah Amzah, menegaskan bahawa pendekatan holistik dan intervensi berstruktur menjadi tunjang kejayaan program ini.

“Program ini bukan hanya tertumpu kepada akademik tetapi juga membina sahsiah dan memberi persediaan kepada pelajar untuk menghadapi kehidupan selepas sekolah,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Siti Zulaiha Ibrahim, serta wakil-wakil sekolah yang terlibat.

Program Anak Kita: SPM 2025 bukan sekadar intervensi akademik, tetapi juga platform inklusif yang membuka peluang kepada pelajar daripada latar belakang mencabar untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, sekaligus melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia. -EDISI UKAS