SERIAN: Keprihatinan terhadap mangsa banjir terus disemarakkan apabila Rotary Club of Kuching Central tampil menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian pada Rabu.
Rombongan yang diketuai Presidennya, Roland Phang disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus serta Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian.
Menurut Roland Phang, inisiatif ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Bagi Serian sahaja, persatuan berkenaan telah menyumbangkan 512 unit tilam dan 1,032 unit bantal kepada keluarga yang terjejas, khususnya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Serian.
Caroline dalam pada itu turut menghargai usaha berkenaan serta 15 penderma lain, termasuk individu, syarikat swasta, badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah memberikan bantuan keperluan asas dan makanan kepada mangsa banjir, baik ketika bencana berlaku mahupun dalam fasa pemulihan.
Beliau berharap agar usaha tanggungjawab sosial korporat seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meringankan beban kerajaan serta masyarakat yang memerlukan.
Hadir sama Pegawai Daerah Serian Inting Nyami. -EDISI UKAS