KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan golongan istimewa tidak tersisih daripada masyarakat dengan pembinaan Special Needs Community Centre (SNCC) yang bakal didirikan di Pusat Pemulihan Samarahan pada tahun ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, pusat ini akan menyediakan perkhidmatan dan sokongan kepada pelbagai lapisan umur, 'from cradle to grave' dengan anggaran kos sebanyak RM55.7 juta untuk proses pembinaannya.
Beliau menjelaskan, SNCC adalah inisiatif kerajaan negeri melalui kementeriannya bagi melindungi hak anak-anak golongan istimewa dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, sukan, bakat dan seni.
“Saya sangat gembira kerana kerajaan negeri kita baru-baru ini telah membantu anak-anak golongan istimewa di mana sebahagian daripada anak-anak istimewa kita yang telah menamatkan pengajian di universiti kini telah diberi peluang untuk bekerja dalam perkhidmatan awam," katanya ketika ditemui media pada program Autism Art Exhibition 2025 di pusat beli belah The Spring, pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Fatimah turut memaklumkan bahawa penerimaan ibu bapa terhadap anak-anak autisme semakin meningkat.
“Setakat ini, jumlah kanak-kanak autisme yang berdaftar di One Stop Early Intervention Centre (OSEIC) meningkat daripada 100 kepada 400 orang.
"Ini menunjukkan kesedaran ibu bapa, terutama golongan muda semakin baik,” katanya sambil menyatakan bahawa stigma masyarakat terhadap anak-anak autisme semakin berkurang, berbanding sebelum ini di mana ada ibu bapa yang enggan menghantar anak mereka ke pusat khusus kerana rasa malu.
Selain menyediakan kemudahan kepada golongan istimewa, SNCC juga akan melatih mereka yang berbakat dalam bidang sukan agar berpeluang menjadi atlet Para Sukan Malaysia (Sukma) dan menerima latihan yang lebih sistematik.
Kerajaan Sarawak tambahnya juga berharap pembinaan pusat ini dapat memberikan manfaat besar kepada komuniti istimewa serta mengukuhkan usaha ke arah masyarakat yang lebih inklusif.-EDISI UKAS