Hubungan Diplomatik Malaysia-UK Diperkukuh: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Speaker House of Commons UK

Disiarkan pada 20 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Hubungan diplomatik antara Malaysia dan United Kingdom terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat Speaker of the House of Commons, Parliament of the United Kingdom, Sir Lindsay Hoyle ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, menyambut baik kedatangan delegasi UK yang turut disertai oleh Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Duta Fenny Nuli, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi British David Wallace, Ketua Staf Pejabat Speaker UK Helen Wood, Timbalan Ketua Staf, Pejabat Speaker UK David Clark, Pegawai Institusi dan Tadbir Urus, Suruhanjaya Tinggi British Farah Nor serta Pegawai Perhubungan Kerajaan dan Protokol, Suruhanjaya Tinggi British Iman Hamdan.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh kedua-dua negara.

Malaysia dan UK berkongsi sejarah panjang dalam konteks hubungan diplomatik serta sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Antara topik utama yang dibincangkan adalah aspek Perlembagaan, Perundangan, Peraturan-Peraturan Dewan, serta peranan parlimen dalam memperkukuh tadbir urus yang baik.

Selain itu, hubungan antara kerajaan pusat dan negeri dalam sistem persekutuan turut menjadi fokus dalam pertemuan ini.

Malaysia, sebagai anggota aktif ‘Commonwealth Parliamentary Association’ (CPA), terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama antara institusi perundangan negara-negara Komanwel.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyifatkan lawatan ini sebagai langkah bermakna dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-UK.

Beliau berharap pertemuan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara. -EDISI UKAS