Projek RM1 Juta Menaik Taraf Bekalan Elektrik, Rangsang Pelancongan di Pusat Kebudayaan Bung Bratak

Disiarkan pada 19 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah menghadiri sesi taklimat bersama pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) Daerah Bau mengenai projek menaik taraf Sistem Bekalan Elektrik di Pusat Kebudayaan Bung Bratak pada petang Rabu yang lalu.

Projek dianggarkan bernilai RM1 juta ini bertujuan untuk menggantikan sistem bekalan elektrik sedia ada yang bergantung kepada set generator dengan sistem bekalan elektrik yang lebih stabil dan efisien.

Billy menyatakan bahawa projek ini merupakan langkah penting untuk meningkatkan kemudahan di Pusat Kebudayaan Bung Bratak, seterusnya merancakkan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut, khususnya di bawah kepimpinan baharu Persatuan Kebudayaan Bung Bratak.

Turut hadir dalam sesi taklimat dan lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Jurutera Daerah SEB Wellington Albert, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Bung Bratak Rayan Narong dan Pengurus Pusat Kebudayaan Bung Bratak Brenda.

Projek ini diharapkan dapat meningkatkan daya tarikan pelancong serta memberi manfaat kepada masyarakat sekitar dengan memperbaiki infrastruktur elektrik yang akan menyokong pelbagai aktiviti kebudayaan dan pelancongan di Bung Bratak. -EDISI UKAS