MIRI: Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan bersama Ketua Penolong Pengarah UKAS, Anwar Hanafi Ardimansyah mengadakan lawatan ke lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, yang telah meragut lima nyawa pada Rabu.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut bertemu dengan salah seorang mangsa yang terselamat, Arabi Samsudin, yang berkongsi pengalaman ngeri semasa kejadian.
Tragedi yang berlaku pada awal pagi 29 Januari lepas, telah melibatkan 12 orang mangsa, dengan lima daripadanya terkorban, dua cedera, sementara lima yang lain terselamat termasuk empat yang sempat melarikan diri.
Terdahulu Awang Putrayusrie turut menyampaikan sumbangan daripada Kelab Kebajikan Kakitangan UKAS kepada lima kakitangan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha UKAS untuk membantu meringankan beban mereka yang ditimpa musibah.
Pihak UKAS berharap agar semua pihak yang terkesan diberikan kekuatan menghadapi ujian ini dan menyeru agar langkah-langkah keselamatan terus diperkukuh bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang pada masa hadapan.
Turut hadir sama Ketua Kampung Lereng Bukit KK Aminudin Morshidi.-EDISI UKAS