Dato Sri John Sikie Zahir Simpati, Salur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran di Balingian

Disiarkan pada 19 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa kebakaran dalam insiden di Rumah Nyawin Radin, Sungai Duan, Balingian pada malam 18 Februari 2025.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.10 malam itu telah memusnahkan hampir 70 hingga 80 peratus struktur rumah panjang yang mempunyai lapan pintu itu.

Sejurus menerima berita mengenai insiden berkenaan, Dato Sri John Sikie turun padang pada Rabu, bagi meninjau keadaan mangsa dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 bagi setiap pintu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM8,000.

Beliau turut menasihatkan agar mangsa yang terjejas segera membuat laporan penuh kepada Pejabat Daerah Mukah, Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih sistematik.

Lawatan selama kira-kira sejam itu dimanfaatkan oleh Dato Sri John Sikie untuk mendengar keluhan mangsa serta menzahirkan sokongan moral kepada mereka yang terjejas.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah wakil Pejabat Daerah Mukah Penghulu Jeffery Irut, Penghulu Nelson Chuat serta Ketua Cawangan PBB Kakus Nelson Mujah Girie.-EDISI UKAS