Legasi Pembangunan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Diteruskan Kepimpinan Masa Kini

Disiarkan pada 06 May 2024
Sumber Berita: UKAS

 
KUCHING: Legasi pembangunan yang ditinggalkan oleh mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan diteruskan oleh kepimpinan masa kini diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg.
 
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib semasa hayatnya telah bertanggungjawab terhadap pemodenan Sarawak di mana beliau telah memberi sumbangan sepanjang tempoh 33 tahun sebagai Ketua Menteri Sarawak dan 10 tahun sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
 
“Kepimpinan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib telah berjaya mengubah status ekonomi dan taraf hidup rakyat Sarawak.
 
“Sarawak kini merupakan sebuah wilayah yang progresif dengan ekonomi berasaskan industri berteknologi tinggi dan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur moden,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
 
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan pemergian Tun Pehin Sri Abdul Taib merupakan satu kehilangan besar kepada Sarawak.
 
Justeru katanya, sumbangan Tun Pehin Sri Abdul Taib sentiasa dikenang oleh rakyat Sarawak dan juga barisan kepimpinan negeri masa kini.-EDISI UKAS