MIRI: Sebanyak 1,500 Bantu Family Kits telah dihantar ke Miri dan akan diagihkan kepada mangsa bencana melalui Pejabat Daerah masing-masing.
Setiap kit mengandungi cerek elektrik, periuk nasi, toto Narita, dua selimut, dua tuala, kain pelikat dan batik sarung yang bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang terjejas.
Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Bencana Sarawak untuk Bahagian Miri disempurnakan oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dengan majlis diadakan di Kompleks Islam Sarawak, Miri pada Selasa.
Bantuan yang disalurkan merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Demi Rakyat dan Negara (GDRN), sebuah jaringan kerjasama yayasan dan unit tanggungjawab sosial korporat syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Inisiatif ini dikoordinasikan oleh Yayasan Hasanah dan Yayasan TM, dengan kerjasama Yayasan PETRONAS, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada mereka yang memerlukan.
Program ini menunjukkan komitmen padu antara agensi kerajaan dan sektor korporat dalam membantu masyarakat yang terkesan akibat bencana.
Diharapkan inisiatif sebegini dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan serta meningkatkan keberkesanan dalam usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan bencana di Sarawak.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, wakil Pegawai Daerah Marudi Reagan Edwin serta Pengurus Jabatan Stakeholder Management Petronas Carigali Sdn. Bhd. Suryani Dohan. -EDISI UKAS