MIRI: Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di Miri bertambah istimewa dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, yang bersama-sama masyarakat setempat meraikan Grand Chinese New Year Celebration Banquet Dinner 2025 – Unity Night, pada Isnin.
Berlangsung di Grand Ballroom, Eastwood Valley Golf & Country Club, majlis anjuran The Federation of Chinese Associations Miri Division ini menyaksikan lebih 620 tetamu hadir termasuk pemimpin utama negeri.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Rosey Yunus serta tetamu kehormat lain.
Dato Sri Lee dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Cina atas sumbangan mereka dalam pembangunan Sarawak, selain menekankan bahawa keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara.
“Sarawak adalah contoh terbaik perpaduan dalam kepelbagaian. Sambutan seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kaum tetapi juga memperkukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Majlis ini turut menyaksikan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan pelbagai kaum, acara tradisi ‘Yee Sang’, serta sesi fotografi bersama tetamu kehormat.
Sementara itu, Presiden The Federation of Chinese Associations Miri Division, Dato David Goh Kien Ping, menyatakan rasa terharu atas kehadiran TYT dan pemimpin negeri yang menunjukkan sokongan padu terhadap masyarakat Cina di Sarawak.
“Kami amat menghargai usaha kerajaan dalam memastikan masyarakat Cina di Sarawak terus maju bersama.
“Kehadiran TYT malam ini menjadi bukti bahawa perpaduan adalah nadi kepada keharmonian negeri ini,” ujar beliau.
Dengan tema ‘Unity Night’, perayaan ini bukan sekadar majlis makan malam tetapi lambang semangat kebersamaan yang menjadi teras keharmonian Sarawak.-EDISI UKAS