Transformasi Besar Sebauh Bakal Bawa Impak Ekonomi

Disiarkan pada 18 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Pekan Sebauh bakal mengalami transformasi besar dengan pelaksanaan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan stadium, masjid, gereja, tebingan sungai dan pembangunan pekan baharu Sebauh.

Projek-projek ini dijangka memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk yang kini mencecah 30,000 orang.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata bahawa pemilihan lokasi untuk pembangunan bandar baharu itu dibuat di kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan risiko banjir berulang.

Selain itu jelasnya, jaringan jalan raya baharu turut dirancang bagi memastikan akses yang lebih baik antara kampung dan pekan.

“Kita mahu melihat Sebauh berkembang pesat, bukan sekadar pekan kecil tetapi menjadi bandar yang berdaya maju.

“Dengan kemudahan yang lebih lengkap, ia mampu menarik lebih ramai pelabur dan meningkatkan taraf hidup penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Sebauh Chinese New Year Unity Dinner 2025 di Dewan SJKC Chung San Sebauh pada Isnin.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan bahawa pembangunan infrastruktur jalan raya akan melibatkan peruntukan hampir RM1.17 bilion, termasuk projek menyambungkan jalan Hulu Pandan dan Hulu Binyo ke Pekan Sebauh.

Langkah ini menurutnya akan memudahkan pergerakan penduduk dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

Selain pembangunan fizikal, Dato Sri Stephen menekankan kepentingan pemulihan kawasan yang terjejas akibat banjir.

Beliau juga mencadangkan program gotong-royong membersihkan Pekan Sebauh pada 2 Mac depan, yang akan melibatkan penduduk, agensi kerajaan dan pihak berkaitan.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan sumbangan RM200,000 kepada Lembaga Pengurusan SJK Chung San Sebauh dan RM20,000 kepada pihak Bomba bagi meningkatkan kelengkapan peralatan keselamatan.

Turut hadir Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Bartholomew Ding, Setiausaha Politik kepada Premier Colin Patan dan Penghulu Lee Lei Seng.-EDISI UKAS